Tenang di Banjaran Titiwangsa
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Kak Ain harapkan semua gembira dan sihat selalu.
Kak Ain sendiri sedikit serabut. Banyak kerja yang perlu dilunaskan. Banyak mukasurat yang mesti ditulis. Memang pening kepala mengadap kerja yang tak pernah surut. Tak akan habis. Manusia memang banyak tanggungjawab.
Kak Ain teringat kembali betapa tenangnya ketika Kak Ain di sini. Lokasinya di kawasan rehat Banjaran Titiwangsa, terletak di antara perjalanan Pulau Pinang ke Kelantan. Tempatnya dingin sekali!
Seketika berada di sini, Kak Ain teringat kisah seorang penulis genre misteri yang terkenal. Kalau nak tahu, Stephen King pernah menetap selama setahun di rumah rehat kawasan pergunungan. Setahun lamanya dia tidak keluar-keluar dari rumah. Setahun lamanya dia terperap menulis novel semata-mata. Setelah selesai menyiapkan sebuah buku, barulah Stephen King keluar dari kawasan pergunungan itu.
Sehingga kini buku-buku nukilannya terjual sebanyak 350 juta naskah seluruh dunia. Hebat bukan? Kak Ain sangat mengagumi ketekunan dan fokusnya sebagai seorang penulis.
Menjadi seorang penulis menuntut masa dan pengorbanan. Lihat sahaja bagaimana Stephen King fokus tak mahu keluar rumah selama setahun demi nak menyiapkan sebuah buku.
Kak Ain selalu mengingatkan diri sendiri. Sekiranya mahu berjaya, Kak Ain juga perlu disiplin dan fokus dalam kerja.
Itu sebabnya Kak Ain ada senarai kerja setiap hari. Di sini Kak Ain mahu kongsikan bersama dengan para pembaca semua, senarai keutamaan kerja harian seorang manusia biasa yang mahu jadi penulis bernama AinMaisarah.
PRIORITI UTAMA: MENULIS, MENULIS & MENULIS!
Kak Ain seorang penulis. Maka tentulah kerja utama adalah menulis. Manager Kak Ain iaitu Cik Abang sudah mewajibkan Kak Ain menulis 15 hingga 20 mukasurat novel setiap hari (kalau tak siap sekurang-kurangnya 15 mukasurat, memang lecur telinga dengar bebelan Cik Abang! Argh! Menakutkan sekali!)
Selain menulis manuskrip novel, Kak Ain juga menulis NovelComel. Sekarang Kak Ain sedang menulis tujuh NovelComel tentang tujuh ahli The Wannababes. Kak Ain juga masih terhutang satu tajuk NovelComel yang akan mengiringi novel ‘Aku Mahu ke New York’ bulan Oktober ini.
PRIORITI KEDUA: MENGURUS PEMBELIAN NOVEL AINMAISARAH
Setiap hari, Kak Ain akan memeriksa dan MENDAHULUKAN e-mel berkaitan pembelian novel dan NovelComel AinMaisarah dahulu.
Apabila ada pesanan, Kak Ain akan mengurus pembelian novel dengan mengecop, menandatangan, menulis ucapan, membungkus dan menghantar buku ke Pejabat Pos KLCC (setiap kali hantar buku, mesti satu jam lamanya Kak Ain menunggu sebab semua orang nak ambil rebat minyak RM625 =( Kak Ain selalu berulang-alik ke Pejabat Pos KLCC dua kali seminggu. Letih sangat!)
PRIORITI KETIGA: MENGEMASKINI RUMAH PINK AINMAISARAH
Di laman web ini, Kak Ain memberitahu para pembaca tentang perkembangan Kak Ain. Di sini juga berkumpulnya pembaca baru dan lama. Kak Ain gunakan medium internet sebagai penghubung dengan semua pembaca seluruh negara.
Bagi memastikan pengunjung yang hadir akan bertandang lagi, Kak Ain perlu memastikan memasukkan entri baru dalam Rumah Pink AinMaisarah setiap tiga hari sekali.
Kak Ain juga memastikan membalas komen-komen para pengunjung di bahagian entri.
PRIORITI KEEMPAT: MENCARI IDEA MENULIS NOVEL
Dalam banyak-banyak soalan, Kak Ain sering terima soalan ini.
Mana dapat idea menulis?
Kak Ain dapat idea dengan mengkaji buku-buku orang lain. Itu sebabnya Kak Ain mesti masuk kedai buku KINOKUNIYA KLCC setiap hari sambil membelek-belek buku remaja luar negara. Kalau buku itu menarik, Kak Ain akan beli dan jadikan bahan kajian. Kak Ain suka mengkaji gaya bahasa penulis antarabangsa.
Dari masa ke semasa juga (selalunya waktu makan dan waktu dalam kereta menghadapi kesesakan jalanraya) Kak Ain akan mengadakan perbincangan dengan Cik Abang. Kami sama-sama mengatur plot cerita-cerita akan datang (buat masa ini Kak Ain sedang mengatur plot IMPIANA III, Aku Mahu Bergaya, Rahsia Mata Linda dan siri baru yang akan menjenguk pasaran tahun 2010)
Itulah antara prioriti kerja Kak Ain. Selain menjadi seorang penulis, Kak Ain juga tak lari dari memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Tugas Kak Ain tak jauh beza dari isteri-isteri orang lain. Kak Ain juga membasuh baju, menjemur di ampaian, melipat dan menggosok pakaian seharian. Fuh! Penat! Tambah pula baju Kak Ain dan Cik Abang memang banyak tak terkata!
Kak Ain juga perempuan biasa yang tentunya perlu melaksanakan tugas seperti mengemas rumah, membersihkan bilik, mengemop lantai dan menyental bilik air. Mujur juga Kak Ain duduk kondo. Tak ada laman. Kalau tak mesti berpeluh cabut rumput di laman rumah!
Selain bertugas sebagai seorang isteri, Kak Ain juga adalah seorang kawan rapat yang tidak pernah gagal meneman Cik Abang bersenam selama dua jam di California Fitness, Mid Valley… pada setiap malam Selasa, Khamis dan Sabtu.
Kak Ain juga sentiasa mengikut Cik Abang setiap kali bertugas outstation kerana Kak Ain jadi penemannya tatkala memandu kereta. (Buat pengetahuan: Cik Abang selalu terima undangan sesi ceramah mobile di serata negeri. Bulan lepas kami ke Terengganu. Bulan depan ke Pahang pula)
AinMaisarah juga manusia biasa yang punya tuntutan berkeluarga. Ibu Kak Ain ibu tunggal (arwah abah meninggal dunia dua tahun lepas) Kak Ain juga punya seorang adik bongsu berumur 11 tahun yang sangat manja lagi mengada-ngada =D Walaupun Kak Ain jarang-jarang dapat balik ke Johor melawat mereka, Kak Ain pastikan Kak Ain menelefon dua kali sehari. Setiap kali telefon, tentu setengah jam lamanya.
Itu belum lagi menyenaraikan tanggungjawab dengan keluarga besar. Belum lagi menyenaraikan tugasan tambahan yang akan diterima setiap kali buku nak keluar. Mesti edit dan semak satu per satu draf novel sebelum boleh dicetak.
Waduh! Jam sudah menunjukkan jam 12.30pm, Kak Ain harus mula menulis sekarang. 5 mukasurat lagi untuk mencapai objektif 10 mukasurat sehari.
Jemari yang menaip kencang,
AinMaisarah