Maklumat Penting untuk Program Jelajah Sekolah AinMaisarah
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Entri kali ini khas Kak Ain tujukan buat semua para pembaca AinMaisarah yang mahu Kak Ain datang ke sekolah cik adik semua. Banyak sungguh permintaan di Facebook yang mahu Kak Ain datang dan melaksanakan Program Jelajah Sekolah AinMaisarah.
Sebenarnya Kak Ain mahu memberi prioriti kepada para pembaca buku AinMaisarah yang selama ini menyokong dan setia mengikuti perkembangan Kak Ain di Rumah Pink dan Facebook. Itu sebabnya Kak Ain mahu ke sekolah yang ada pembaca setia AinMaisarah terlebih dahulu.
Kak Ain hanya perlukan maklumat-maklumat berikut bagi membolehkan Kak Ain datang ke sekolah para pembaca semua.
1) Nama guru Pusat Sumber atau guru subjek bahasa Melayu.
2) Nombor telefon guru tersebut.
3) Nama sekolah
Tiga maklumat di atas bolehlah dihantar melalui e-mel kepada pihak pengurusan AinMaisarah di [email protected]
Selepas itu, pihak pengurusan AinMaisarah sendiri akan berbincang secara terus dengan pihak sekolah mengenai tarikh dan aktiviti yang bakal dilaksanakan.
Sekiranya Kak Ain ke sekolah yang terpilih, Kak Ain akan mengadakan aktiviti yang berkenaan:
Ucapan di perhimpunan
Kebiasaannya AinMaisarah membuat ucapan di perhimpunan sesi pagi dan sesi petang selama 15 minit mengenai kerjaya penulisan dan kempen membaca buku sebelum pelajar masuk ke kelas.
Membuka gerai pameran buku
AinMaisarah akan membuka gerai pameran buku menjual novel remaja dan buku motivasi selama berada di sekolah. Lokasi cadangan adalah di kawasan kantin. AinMaisarah dan tim promosinya hanya membawa buku-buku terbitan PTS yang terbukti dijaga tatabahasa dan diterima oleh guru-guru dan ibubapa sebagai bahan bacaan tambahan yang membantu meningkatkan kemahiran menulis di kalangan para remaja. Keperluan bagi mengadakan pameran buku ini hanyalah tiga buah meja di kawasan kantin sekolah.
Bengkel mula menulis novel.
Sekiranya pihak sekolah bersetuju menjemput AinMaisarah, maka AinMaisarah akan memberi bengkel PERCUMA mengenai kerjaya penulisan dan menerangkan proses menulis dan menerbitkan sebuah novel selama SATU JAM kepada pelajar sekolah yang berminat. Terpulanglah kepada pihak sekolah menentukan masa dan tarikh yang sesuai.
Itulah aturan aktiviti yang terkandung dalam Program Jelajah Sekolah AinMaisarah sepanjang Kak Ain menjelajah ke 22 buah sekolah.
Kak Ain harap para pembaca boleh dapatkan maklumat yang diperlukan secepat mungkin supaya Kak Ain sempat ke sekolah sebelum cuti sekolah bulan Jun bermula.
Salam Sayang,
AinMaisarah