Semoga semua pengunjung Rumah Pink AinMaisarah berada dalam keadaan sihat, ceria dan bahagia sentiasa. Kak Ain sendiri Alhamdulillah sentiasa tersenyum gembira kerana tahun 2011 ini, begitu banyak berita baik-baik yang Kak Ain terima.
Oleh kerana ini permulaan tahun 2011 (walaupun sudah masuk pertengahan Januari… uhuk..uhuk) Kak Ain mahu kongsikan bersama 11 perkembangan AinMaisarah yang menanti sepanjang tahun ini:
1) Mula menjadi kolumnis Berita Harian selama 40 minggu, bermula 15 Januari 2011
– Alhamdulillah, Kak Ain sangat bersyukur apabila dipilih oleh Berita Harian. Ketika diminta mencari cerita sesuai, Kak Ain memilih cerita The Wannababes kerana kumpulan ini memang disukai ramai dalam novel-novel AinMaisarah sebelum ini.
– Kali ini, tajuk nukilan AinMaisarah adalah ‘Jutawan Gedik’
– Boleh ke www.jutawangedik.com untuk membaca sinopsis cerita dan mengikuti aktiviti kuiz dan pertandingan yang akan menawarkan pelbagai hadiah menarik buat semua pembaca!
2) Mula menjadi Ketua Penulis syarikat penerbitan BLINK Sdn. Bhd bermula 1 Februari 2011
– Informasi tentang syarikat ini masih lagi private and confidential. Namun, Kak Ain mengharapkan doa semua pembaca buku-buku AinMaisarah agar perjalanan kerja-kerja membangunkan BLINK dipermudahkan, diberikan seluas-luas peluang dan berjaya menepati segala harapan.
– Sebarang informasi terbaru, tentu Kak Ain akan kongsikan dengan semua pembaca tersayang. Tungguuuuu pengumuman rasmi tentang BLINK Sdn. Bhd =)
3) Berpeluang bekerjasama dengan Kukubesi Manipulasi, satu nama yang cukup besar dalam bidang fotografi bagi merealisasikan album perkahwinan Ketua The Wannababes iaitu Fasharina Tan Sri Hisham dengan Amir.
– Alhamdulillah, bukan mudah mendapatkan khidmat Kukubesi yang terkenal dengan kehebatannya mengedit dan memanipulasi gambar. Antara kerja Kukubesi yang terkenal sekali adalah gambar-gambar perkahwinan angkasawan negara, Dato’ Sri Sheikh Muszaphar Shukor dengan Dr. Harlina.
– Jadi apabila Kak Ain mendapat ‘green light’ yang Kukubesi sudi bekerjasama, Kak Ain sangat-sangat teruja!
– InsyaAllah, album perkahwinan Fasha The Wannababes akan direalisasikan dengan sebaik mungkin! Inilah juga buah tangan kepada semua yang mengikuti siri ‘Aku Mahu’ dan ‘Impiana’
– Mahu lihat wajah Fasha dan Amir? Tungguuuu Pesta Buku Antarabangsa PWTC, bulan April nanti apabila album ini dilancarkan! =)
4) Menambah 2 co-author AinMaisarah pada tahun 2010, kepada 6 orang lagi co-author yang bakal bekerjasama.
5) Menjalankan projek aplikasi buku elektronik dalam Iphone dan Ipad
6) Memohon geran kerajaan bagi membina platform komuniti remaja
7) Bekerjasama dengan sebuah syarikat teknologi bagi membina komik elektronik The Wannababes
8) Menunggu ‘green light’ menilai skrip Impiana yang sedang dalam usaha dijadikan drama TV.
9) Bakal bertungkus-lumus melancarkan tiga siri baru sempena Pesta Buku 2011 nanti iaitu ‘Dongeng Sri Bangsar’, ‘Superhero Sri Bangsar’ dan ‘Siri Mr. Right’
10) Program Jelajah Sekolah AinMaisarah diteruskan dengan sasaran lebih tinggi. Tahun 2010, AinMaisarah menjelajah 53 sekolah. Tahun 2011 harapnya dapat capai 60 buah sekolah.
11) Dan akhir sekali, apabila semua tugasan ini sudah selesai… Kak Ain dan Cik Abang mahu menunaikan umrah dan bercuti ke Australia. Tiket-tiket untuk dua destinasi ini sudahpun disahkan.
Berita-berita baik ini memang membuatkan Kak Ain bersyukur kerana dibukakan pintu peluang itu sebesar-besarnya. Namun ia juga bermakna… pertambahan kerja yang berlipat kali ganda.
Kak Ain berharap Kak Ain mendapat doa daripada semua pembaca.
Doakan Kak Ain sihat tubuh badan dan dijauhkan daripada kuman.
Doakan Kak Ain diberi kerajinan seperti lebah yang tidak pernah kenal erti lelah
Doakan Kak Ain terus diberikan keseronokan menulis beribu-ribu perkataan
Doakan Kak Ain mendapat idea-idea bombastik yang berpanjangan
Dan Kak Ain juga berdoa semoga semua pembaca AinMaisarah berjaya dalam segala bidang yang diceburi dan dilimpahi rezeki sepanjang tahun 2011 ini.
Mari kita bekerja keras bagi tahun 2011!
Salam Sayang,
AinMaisarah