Kisah Syawal AinMaisarah: Bahagian 2
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hari Isnin ini Kak Ain mengambil masa menulis blog. Lagipun cerita blog berkisarkan tentang tema raya mestilah ditulis ketika bulan raya. Ketika semua pembaca masih mengunyah dodol, kuih makmur dan biskut cornflakes bersalut madu. Oh, nyum… nyum!
Bercerita tentang raya, raya kedua Kak Ain balik ke Kuala Kangsar. Kuala Kangsar adalah kampung Cik Abang. Apabila balik kawasan sekitar Perak, Kak Ain seronok sungguh. Apa sebabnya? Ini kerana apabila beraya, hampir setiap rumah akan menghidangkan lemang dan rendang. Rendangnya pula macam-macam. Bukan setakat rendang ayam dan daging.
Di Perak, ada rendang kerang dan rendang paku-pakis. Memang unik! Rasanya pun sangat sedap.
Apa yang Kak Ain paling suka tentang kampung Cik Abang adalah kerana ianya benar-benar bersuasana kampung. Rumahnya berstruktur kayu. Halamannya begitu luas.
Pokok-pokok rambutan juga begitu rendang hingga Kak Ain hanya perlu menjengketkan kaki sedikit sahaja sebelum boleh memetik buahnya secara terus. Tanpa perlu galah. Tanpa perlu memanjat.
Kak Ain selalu terfikir, nanti pada masa akan datang… apabila semua sudah duduk di bandar, tiada lagi yang boleh beraya di kampung. Nanti lebih ramai beraya di kondo, apartmen dan rumah-rumah teres batu.
AinMaisarah sendiri menumpang kampung Cik Abang untuk berhari raya. Kak Ain sendiri tiada kampung. Memang sedih rasanya!
Bagaimana pula dengan para pembaca buku AinMaisarah? Masih ada kampung halaman untuk pulang berhari raya?
Salam Sayang,
AinMaisarah